Sejarah
Selangau
Berdasarkan cerita daripada
penduduk tempatan
, Pekan Selangau mendapat namanya
daripada Sungai Selangau yang merupakan
salah satu
daripada anak
sungai Batang Mukah.
Penempatan awal penduduk di Pekan Selangau
adalah terletak di kuala Sungai Selangau (iaitu berhampiran dengan SK
Nanga Selangau).
Pada masa tersebut, hanya terdapat 4 buah kedai yang dimiliki oleh kaum
Cina dan Iban yang menjual pelbagai barangan keperluan harian kepada
para penduduk yang tinggal di situ. Dipercayai bahawa mendiang Cr. Aleh.Ak. Juing, mendiang Encik
Kee Siew Muang, mendiang Encik Buhui dan mendiang Encik Ayong merupakan peniaga
pertama yang membuka perniagaan
kedai runcit di Selangau pada masa tersebut.
Pada asalnya, kawasan ini di huni oleh kaum Beketan yang kemudiannya berpindah ke
Ulu Tatau setelah kedatangan kaum Iban dari
kawasan Kanowit dan Sg. Lemanak. Pada sekitar tahun
1930an atau 1940an yang kemudiannya berpindah dan
membina penempatan di kuala Sungai
Selangau. Kemudian, pada sekitar tahun 1960-an, iaitu setelah siapnya
pembinaan Lebuhraya Borneo (Jalan
Sibu/ Bintulu, para penduduknya mulai
berpindah dan membina penempatan berdekatan dengan lebuhraya tersebut.
Bermula daripada sebuah perkampungan kecil yang terpencil dan digelar sebagai
‘cowboy town’ oleh
penduduk-penduduk tempatan, Selangau yang pada masa itu
diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Mukah telah mulai berkembang
maju menjadi sebuah pekan. Kedatangan para
peniaga dari sekitar
kawasan Kuala Kenyana, Balingian, Bintangor, Sibu
dan Sarikei yang membuka premis perniagaan di
Pekan Selangau telah merancakkan lagi aktiviti perdagangan dan seterusnya meningkatkan populasi
penduduk
di sekitar Selangau.
Pada sekitar tahun 1970-an, seorang Wakil Ulu
Sungai (URA) telah ditempatkan di Pekan Selangau yang bertanggungjawab untuk mentadbir
kawasan Selangau
dan menjadi penghubung
atau perantara di
antara pihak kerajaan
dengan para penduduk kampung.
Kedudukan Pekan Selangau yang strategik iaitu terletak di tepi jalan
Lebuhraya Borneo (Jalan Sibu/
Bintulu) telah menjadikan
Pekan Selangau
sesuai sebagai
sebuah tempat
persinggahan untuk beristirehat dan
menjamu selera khususnya kepada para
pengguna jalan raya yang menggunakan Lebuhraya Borneo ini.
Akibat
daripada pembangunannya yang semakin pesat ditambah pula dengan jumlah
penduduk yang semakin bertambah dari tahun ke tahun, maka pada 1 Mac
2002, Selangau telah diisytiharkan sebagai sebuah daerah baru dan
diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Sibu.
|